I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, October 27, 2011

Teknik Penyoalan


Garis Panduan Tentang Penyoalan Dalam Bilik Darjah
Langkah 1 : Ajukan Soalan Kepada Seluruh Kelas
  • Dahului penyoalan dengan pemberitahuan peraturan menjawab. Umpamanya murid seharusnya hulurkan tangan sekiranya ingin menjawab tanpa menjeritkan jawapan, guru akan memanggil murid yang tidak membuat bising atau kerap menyahut ‘Cikgu, panggil saya, saya....’
  • Tujukan soalan kepada keseluruhan murid dan elakkan memilih murid tertentu sebelum mengajukan soalan.  ‘Murid-murid, siapa boleh beritahu cikgu, apakah benda-benda yang diperlukan untuk membaiki sebuah basikal?’
  • Nyatakan soalan dengan tepat dan seberapa boleh menggunakan ayat yang pendek.  ‘Apakah yang kamu faham tentang benda hidup?’
  • Elakkan soalan yang jawapannya sudah jelas atau jawapan hanya’Ya/Tidak’ (soalan tertutup).
  • Seimbangkan penggunaan pelbagai jenis soalan.  Soalan tahap rendah seperti tahap pengetahuan dan pemahaman menggalakkan penyertaan lebih ramai murid manakala soalan tahap tinggi seperti aplikasi, analisis, sintesis dan menilai membina kemahiran berfikir serta meningkatkan kefahaman.
  • Setarakan soalan mengikut kebolehan murid supaya murid berasa seronok apabila mampu menjawabnya dan seterusnya lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam pembelajaran secara aktif.
  • Ajukan soalan dengan cara yang tidak mengancam.  Cara yang mengancam seperti ‘Cikgu akan merotan sekiranya jawapan kamu salah’ atau ‘Cikgu akan mendenda murid yang tidak memberi jawapan’ boleh menyebabkan murid mempunyai perasaan takut atau negatif setiap kali guru bertanya soalan dan seterusnya mengehadkan respon yang diperolehi.


Langkah 2 : Beri Masa Berfikir yang sesuai
  • Masa berfikir seharusnya diberi selepas soalan diajukan dan sebelum guru memberi respon kepada jawapan murid.
  • Masa berfikir yang sesuai adalah bergantung kepada jenis dan tahap soalan yang diaju.  3 hingga 5 minit diberi untuk soalan dari tahap rendah, contohnya ‘Bagaimana hujan berlaku?’  Masa yang lebih panjang diperlukan untuk soalan dari tahap tinggi.  Ada kemungkinan masa yang diberi bukan sahaja lebih panjang bahkan murid juga diberi peluang berbincang dalam kumpulan untuk meningkatkan kemahiran analitik serta menyelesaikan masalah yang dikemukakan oleh guru seperti ‘Murid-murid, sila bincangkan kebaikan-kebaikan menonton televisyen.’

Langkah 3 : Pilih Murid Untuk Menjawab
  • Pilih murid yang hendak menjawab secara sukarela dan sebaliknya.  Pemilihan murid secara rawak boleh mengekalkan perhatian murid sepanjang sesi soal-jawab.  Guru dinasihati supaya jangan memilih kasih atau selalu memilih murid yang tertentu sahaja.
  • Panggil nama murid tertentu dan murid-murid lain dilarang menyahut jawapan secara terbuka.
  • Ingatkan murid tentang peraturan menjawab soalan yang dinyatakan sebelum itu.

Langkah 4 : Beri Respon Yang Bersesuaian Kepada Jawapan Murid
  • Pastikan murid lain memberi perhatian kepada jawapan murid dengan memberitahu murid bahawa guru akan menyuruh murid mengulang balik apa yang disebut oleh kawannya.
  • Beri respon atau reaksi tanpa mengatakan ‘Salah’ atau ‘Betul’.  Cuba membimbing murid menggunakan ayat yang berbeza.  Beri peneguhan positif sekiranya murid memberikan jawapan yang tepat seperti ‘Bagus, jawapan kamu tepat sekali.’, ‘Good try!’ dan sebagainya.
  • Jika jawapannya salah, kenalpasti bahagian yang betul serta tanya lebih lanjut untuk mendapatkan penjelasan atau minta jawapan alternatif daripada murid lain.
  • Beri galakan, isyarat atau klu untuk membimbing murid memikirkan jawapan yang tepat.
  • Tanya lebih lanjut bagi mendapatkan penjelasan tentang idea murid, mencabar murid dan seterusnya menggalakkan pemikiran tahap tinggi.  Guru boleh menyoalkan ‘Mengapa?’, ‘Bagaimana kamu tahu?’, ‘Boleh terangkan lebih lanjut?’, ‘Apakah buktinya?’ dan sebagainya.
  • Tujukan soalan yang sama kepada murid lain sebelum menerima sesuatu jawapan  atau tujukan soalan lain yang berkaitan yang dibangkitkan murid kepada murid lain.
  • Kaitkan semua jawapan dan idea murid untuk membantu murid membuat satu kesimpulan .

Langkah 5 : Beri Penekanan atau Membuat Ringkasan Jawapan
  • Nyatakan semula tujuan atau soalan utama selepas sesi soal-jawap yang panjang diikuti dengan jawapan tepat atau jawapan yang boleh diterima.
  • Langkah ini tidak diperlukan sekiranya penyoalan bersifat mencungkil idea atau pendapat murid.  Guru boleh meminta murid menjalankan penyiasatan bagi mendapatkan jawapannya sekiranya guru menggunakan kaedah Inkuiri Penemuan.

No comments:

Post a Comment