I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, October 18, 2011

Kemahiran Teknik Mikro Pengajaran

Teknik Penyoalan dalam Proses Mikro Pengajaran
Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu, ia dapat dijadikan teras kepada pembinaan konsep-konsep, kesanggupan memberi pernyataan dan melahirkan perasaan, penglibatan dan kepercayaan diri sendiri di kalangan pelajar. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam sesuatu sesi P&P bergantung kepada kebolehan seseorang guru untuk menguasai teknik menyoal.
Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunyai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan.  Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.
Secara umumnya teknik menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti pengajaran guru kerana hampir kesemua proses P&P melibatkan teknik penyoalan.

 
Tujuan penggunaan Teknik Penyoalan
Soalan-soalan boleh digunakan untuk melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu isi pelajaran, untuk mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada satu fakta yang lain, untuk menegaskan kepentingan isi dengan memberikan penekanan kepadanya, untuk mengarah pelajar ke hala yang betul dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penggunaannya yang paling bernilai adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan-soalan dikemukakan untuk menganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. Tujuan utama penggunaan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:
i. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar.
ii. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis.
iii. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.
Prinsip-Prinsip Panduan Penyoalan
Bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlulah menyediakan soalan-soalan yang dapat mengasah pemikiran kreatif di kalangan pelajar. Berikut ini merupakan ciri-ciri teknik penyoalan yang sesuai digunakan bagi memungkinkan kejayaan teknik ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
1.Soalan-soalan yang hendak dikemukakan hendaklah dirancang dan teratur.
2. Soalan-soalan hendaklah bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar.
3. Aras soalan hendaklah tidak terlalu senang dan tidak pula terlalu sukar.
4. Perkataan atau istilah yang hendak digunakan haruslah boleh difahami oleh pelajar.
5. Beri masa kepada pelajar untuk memikirkan jawapan.
6. Kemukakan soalan kepada seluruh kelas dan elakkan daripada tujukan kepada murid yang tertentu sahaja.
7. Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid.
8. Bentuk soalan hendaklah berubah-ubah untuk menarik perhatian murid.
9. Tentukan bahawa soalan itu dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas.
10. Soalan yang dibentuk harus mampu mendorong pelajar untuk berfikir.
11. Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya.
12. Soalan hendaklah ringkas dan jelas.

No comments:

Post a Comment